Friday, March 28, 2008

Pengusaha cendawan rugi RM200,000

PETIKAN DARI HARIAN METRO 01-10-2007
Pengusaha cendawan rugi RM200,000

MUAR 10.01.07 =Banjir yang melanda daerah ini selama kira-kira dua minggu, baru-baru ini, turut menjejaskan pendapatan pengusaha cendawan tiram kelabu, di Kampung Terus, Panchor, di sini, apabila bangunan pusat menanam tanaman itu ditenggelami air.
Pengusaha tanaman itu, Rosli Amir, 35, berkata beliau mengalami kerugian lebih RM200,000 apabila kesemua peralatan termasuk alat mengawal suhu di dalam bangunan itu rosak.
Beliau berkata, selain itu kira-kira 50,000 bongkah tempat semaian cendawan hampir mengeluarkan hasil turut musnah apabila pusat tanaman itu ditenggelami air kira-kira 1.5 meter.
Projek menanam cendawan di bawah skim usahawan tani Jabatan Pertanian itu dimulakan sejak dua tahun lalu dengan modal sebanyak RM180,000 bersama rakan kongsi saya Asmadi Tulus.
“Tanaman yang dihasilkan itu mendapat pasaran menggalakkan termasuk pengusaha restoran tempatan dan luar kawasan selain peniaga runcit dan pasar tani,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bergotong royong bersama kira-kira 100 anggota Briged Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyertai program pemulihan mangsa banjir membabitkan lima kampung pedalaman sekitar Panchor, di sini, kelmarin.
Hadir sama ialah Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Umno Bahagian Pagoh, Noriah Mahat; Pegawai JKM daerah, Kamarudin Karim; Ketua Kampung Melayu, Jamal Sudin, Ketua Kampung Sungai Ranggam/Sungai Alai, Bardan Ahmad Kastik dan Ketua Kampung Terus, Alias Taslim.
Rosli berkata, sebahagian besar bongkah semaian mengandungi cendawan yang mula bercambah dihanyutkan air menutup beberapa perparitan yang mengalirkan air ke sungai.
Bagaimanapun, katanya, cendawan yang bernilai kira-kira RM50,000 daripada bongkah semaian di dalam bangunan pusat tanaman itu yang dijangka dipasarkan bulan depan kesemuanya busuk dan masam kerana ditenggelami air.
Sementara itu, Asmadi berkata, air yang naik begitu cepat menenggelamkan sebahagian besar rumah penduduk kampung itu termasuk bangunan pusat perusahaan menanam cendawan.
Beliau berkata, semua cendawan sedang bercambah di dalam bongkah semaian mati kerana terlalu lama berendam dalam air dan dalam bangunan pula busuk.
“Kerja mengeluarkan bongkah semaian di dalam bangunan itu yang rosak perlu disegerakan bagi mengelak berkulat sekali gus menjejaskan cambahan tanaman baru.
“Bagaimanapun kami bersyukur kerana melalui program pemulihan mangsa banjir disertai anggota Briged Sukarelawan JKM membantu mempercepatkan kerja berkenaan,” katanya.

No comments: